FIFA, AFC sokong Kejuaraan Kelab ASEAN

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino dan Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa menyokong penuh penganjuran Kejuaraan Kelab ASEAN yang akan bermula musim depan.


ACC adalah kejohanan yang membabitkan 12 kelab dalam kalangan persatuan di bawah Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

“Kami berkongsi rancangan kami mengenai kejohanan kejuaraan kelab bersama Infantino dan Shaikh Salman, mereka berdua menyokong,” kata Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth. “Kami amat berterima kasih kerana mendapat sokongan penuh dari FIFA dan AFC.”

AFF mengadakan perbincangan dengan Shaikh Salman mengenai ACC di Tajikistan pada September lalu sebelum bertemu Infantino di Bangkok baru-baru ini.

Ini adalah kali kedua AFF membincangkan penganjuran ACC bersama Infantino selepas perbincangan pertama di Vientiane, bulan lalu dalam pertemuan yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bolasepak Laos, Viphet Sihachakr.




Sameth menjelaskan pihaknya mengambil masa yang panjang untuk membentuk pelan bersepadu kerana terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan termasuk memastikan tiada pertindihan dengan penjadualan liga domestik, FIFA dan AFC.

“Kami juga perlu melihat perkara penting seperti penjenamaan, hadiah kemenangan dan format pertandingan. Terdapat juga rundingan dengan rakan komersial sejak beberapa bulan lalu sebelum mendapat kelulusan Majlis AFF.

“Pelan ACC akhirnya dibincangkan sekali lagi pada Mesyuarat Majlis Khas AFF di Ho Chi Minh minggu lalu, khusus untuk membincang dan meluluskan ACC.

“ACC juga akan membantu meningkatkan kedudukan kewangan kelab, mempromosi pelancongan sukan dan pengalaman 650 juta peminat bola sepak di rantau ini,” katanya. – Berita Harian