Lee Tuck pemain import terbaik – TMJ

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail ibni Sultan Ibrahim mengakui amat mengagumi kapten pasukan Terengganu Football Club (TFC), Lee Tuck.


Menurut pendapat peribadi baginda, Lee Tuck merupakan pemain import terbaik dalam kancah Liga Malaysia sejak menyertai pasukan berpengkalan di pantai timur itu pada tahun 2018 lalu.

Paling menarik perhatian Tunku Ismail yang juga Pemangku Raja adalah sikap profesional yang ditampilkan oleh pemain kacukan England-Malaysia itu tanpa mengira keadaan pasukannya mencatatkan kemenangan mahupun tewas dalam mana-mana perlawanan.

“Lihat kapten Terengganu FC, Lee Tuck, saya amat menghormati pemain ini. Kenapa? Sebab dia seorang yang amat profesional, dia seorang yang berterus-terang,”

“Bagi saya, dia merupakan pemain import terbaik dalam negara daripada aspek disiplin dan prestasi. Pada masa yang sama, dia hanya menumpukan kepada (pasukan) mereka sahaja. Tiada provokasi.” kata Tunku Mahkota Ismail menerusi satu video yang dimuat naik oleh Johor Southern Tigers, semalam.




Lee Tuck antara tonggak penting yang memacu TFC mara ke saingan akhir Piala Malaysia 2018. Malah beliau turut merekodkan satu ‘assist’ kepada Tchetche Kipre semasa bertemu JDT pada aksi timbal balik Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Musim ini, Lee Tuck meneruskan kecemerlangannya bersama skuad TFC dengan meletakkan namanya selaku penyumbang ‘assist’ terbanyak dalam saingan Liga Super 2019 dengan rekod sebanyak 8 ‘assist’.

Selain daripada mengagumi Lee Tuck, Tunku Mahkota Ismail turut memuji saingan yang diberikan oleh skuad Hitam Putih ini apabila turun menentang skuad Harimau Selatan dalam tempoh dua musim terakhir ini.

“Apabila menentang Terengganu FC, memang sukar. Dia memang mempunyai rekod baik dengan JDT dan mengenepikan kita daripada Piala Malaysia musim lepas.” tambahnya lagi. – foxsport