Penyerang Harimau Malaya perlu lakukan lebih ‘homework’ – Cheng Hoe

Ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe melihat barisan serangan skuad Harimau Malaya perlu melakukan lebih banyak ‘homework’ agar tampil lebih tajam dan dapat menyempurnakan peluang yang terhidang dengan lebih baik.


Selain daripada ketumpulan di bahagian serangan, jurulatih berusia 51 tahun turut menyatakan beberapa situasi getir di barisan pertahanan yang hampir-hampir memberikan gol pendahuluan kepada pasukan pelawat, Tajikistan.

“Setakat ini apa yang saya lihat banyak juga melibatkan intensiti yang tinggi, dan ianya bukan mudah.

“Pada separuh masa pertama, dua hingga tiga kali jugaklah kita nyaris-nyaris dibolosi gol, kita kena perbaiki lagi dari segi pertahanan.

“Pada masa yang sama, bahagian serangan kita perlu melakukan ‘homework’ dengan lebih banyak.” katanya dalam sidang media selepas skuad Harimau Malaya berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.




Dan kemenangan ke atas pasukan tangga ke-116 dunia ini menjadi motivasi yang baik sebelum melayan kunjungan Thailand bagi pusingan 2 kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada khamis akan datang.

Dan pujian turut dihamburkan Tan Cheng Hoe ke atas beberapa pemain yang bertungkus-lumus untuk mengikuti perancangan permainan dan memberikan komitmen penuh di atas padang.

“Kemenangan yang bermotivasi untuk pasukan kerana kalau tengok keseluruhan perlawanan, Tajikistan bukan calang-calang pasukan yang boleh kita menang dengan mereka tetapi secara keseluruhannya saya rasa pemain-pemain bermain dengan baik walaupun sesetengah pemain masih lagi keletihan.” katanya lagi.