Sumareh mahu ubati duka penyokong Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Bintang naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh mahu memastikan kemenangan ke atas Thailand pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bagi dijadikan ‘pengubat duka’ kekecewaan penyokong.


Faham dengan apa yang dipendam penyokong selepas kekalahan kepada Vietnam sebelum ini, Sumareh juga sedar apa yang diperkatakan peminat hanyalah bermotifkan kebaikan pasukan.

Selepas apa yang melanda Harimau Malaya sepanjang tiga perlawanan Kumpulan G, Sumareh bertegas skuad negara perlu meraih mata maksimum pada dua aksi di gelanggang sendiri, menentang Thailand (Khamis) dan Indonesia (19 November) bagi menghidupkan peluang layak ke Piala Asia.




“Selepas menang dengan Indonesia dan apa yang kita tunjukkan ketika perlawanan menentang UAE (Emiriah Arab Bersatu), kita sudah letakkan satu tahap lebih tinggi. Kami sudah buktikan kami boleh bermain dengan baik.

“Apabila kalah kepada Vietnam, saya faham kekecewaan penyokong. Mereka hanya mahu kami berikan aksi terbaik dan kami juga sedar perlu berikan sehabis baik.

“Tidak kira apa pun, kami kena berikan 100 peratus. Kami kena menang dua perlawanan ini bagi berikan keyakinan untuk ke Piala Asia,” katanya.




Dalam masa sama, pemain kelahiran Gambia itu sedar Thailand hadir dengan skuad terkuat dan sudah membuktikan bisa ketika menang 2-1 ke atas UAE sebelum ini.

“Saya bermain dalam aksi persahabatan dengan Maldives sebelum ini. Akhirnya penggantungan saya berakhir dan saya gembira untuk kembali dengan pasukan.

“Tahun lalu Thailand tanpa beberapa tonggak namun kali ini mereka hadir dengan skuad lengkap dan mencari kemenangan. Namun ini tempat kita.. bermain di padang sendiri dan kita ada penyokong setia beri kelebihan kepada kami,” katanya.