Farizal Marlias tidak kisah jika Khairul Azhan menjadi pilihan sekali lagi

Penjaga gol utama Harimau Malaya, Farizal Marlias tidak kisah sekiranya pengendali Tan Cheng Hoe memilih untuk sekali lagi mempertaruhkan kudrat Khairul Azhan Mohd Khalid di gawang apabila Malaysia berdepan Indonesia dalam aksi kelima Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 19 November ini.


Ketika skuad negara bangkit menewaskan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis lalu, Farizal yang bermain dalam tiga perlawanan awal sebelum itu direhatkan tatkala Cheng Hoe menurunkan Khairul Azhan dan penjaga gol Selangor itu tidak mengecewakan.

Malah Khairul Azhan melakukan satu aksi menyelamat cemerlang pada minit ke-81 dengan melayangkan badan menepis percubaan voli Supachok Sarachat sekaligus menafikan pasukan lawan gol penyamaan dan Farizal nyata gembira dengan prestasi rakan sepasukannya itu.

“Siapa sahaja yang diturunkan lawan Indonesia nanti, perlu berikan yang terbaik. Tidak kisah jika ianya saya sendiri, Yan (Khairul Azhan) atau Haziq (Nadzli).




“Mentaliti kami semua adalah sama, mahu Malaysia menang. Saya gembira dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Yan dan sudah tentu dengan prestasinya dalam dua perlawanan (Tajikistan dan Thailand), ia akan menjadi satu persaingan sengit antara kami untuk merebut tempat dalam kesebelasan. Kami perlu terus bekerja keras untuk tingkatkan prestasi.

“Apa sekalipun, siapa pun yang mendapat kepercayaan tidak menjadi masalah, yang penting adalah keputusan ke atas Indonesia yang mana akan menghidupkan peluang kita untuk ke pusingan seterusnya,” kata Farizal selepas dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2019 pada Jumaat.

Ia adalah kali keempat Farizal yang bermain untuk Johor Darul Takzim memenangi anugerah tersebut selepas 2009, 2015 dan 2018. – foxsport