Uitm FC lakar sejarah jadi pasukan IPT pertama main di Liga Super

Malaysian Football League (MFL) pada hari ini mengumumkan bahawa permohonan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk menjadikan PKNS FC sebagai ‘reserve team’ mereka bagi saingan Liga Malaysia 2020 telahpun diluluskan.



Dalam masa sama, MFL turut meluluskan permohonan Persatuan Bolasepak Perak (PFA) untuk menjadikan PKNP FC sebagai ‘feeder team’.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL menerima permohonan FAS dan PAFA yang menyatakan bahawa mereka memiliki pelan untuk kebaikan bolasepak khususnya bagi pembangunan pemain muda selain perbelanjaan menguruskan dua pasukan akan menjadi lebih berhemah.

“Bagaimanapun kelulusan itu adalah bersyarat di mana FAS dan PAFA harus memenuhi keperluan untuk layak sebagai reserve team termasuk aspek kewangan stabil, transisi kontrak PKNS FC dan PKNP FC perlu mengikut peraturan dan kemudahan tempat latihan sebelum status itu berkuatkuasa tahun depan,” kata MFL dalam satu kenyataan.

MFL turut menjelaskan mengenai peraturan garis masa permohonan yang menjadi pertikaian ramai sebelum ini.

“Berdasarkan garis panduan reserve team 2.1 , mana-mana pasukan ingin menubuhkan reserve team harus menghantar permohonan bertulis kepada MFL dan permohonan tersebut harus dihantar satu tahun sebelum permulaan musim.




“Bagaimanapun di bawah perkara 2.2, turut menyatakan bahawa Ahli Lembaga Pengarah MFL mempunyai budi bicara tunggal dalam membuat keputusan untuk membenarkan sesebuah pasukan mewujudkan reserve team di mana Parent Club dan Reserve Team haruslah dimiliki pihak yang sama,” menurut kenyataan itu.

Dengan PKNS FC menjadi Reserve Team, maka mereka tidak layak untuk bersaing di Liga Super 2020 dan akan diturunkan pangkat bermain di Liga Premier tatkala PKNP FC sememangnya sudah sedia tersingkir daripada Liga Super selepas menduduki tangga ke-11 musim ini.

Ini menyaksikan pasukan Uitm FC yang menduduki tangga kelima Liga Premier 2019 dinaikkan ke Liga Super bagi mengisi kekosongan ditinggalkan PKNS FC, sekaligus melakar sejarah menjadi pasukan Institusi Pengajian Tinggi pertama beraksi di liga elit bolasepak Malaysia. – foxsport