Indonesia tiada masalah Stadium Nasional penuh

Stadium penuh bukan satu masalah.

Itulah yang dinyatakan oleh pemangku ketua jurulatih Indonesia, Yeyen Tumena berkenaan atmosfera yang bakal dihadapi oleh anak buahnya menjelang perlawanan berdepan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.



Tiket bagi perlawanan tersebut sudah habis terjual dan lebih 80,000 penyokong akan membanjiri stadium bagi perlawanan yang boleh disebut sebagai ‘derby nusantara’ itu.

“Dengan keadaan stadium dipenuhi penonton akan menjadi musuh buat pemain. Saya rasa ini perkara positif buat kami kerana biasanya kami bermain di Indonesia juga dengan penyokong yang cukup ramai. Bukan hanya pasukan kebangsaan, tetapi juga di peringkat kelab mereka sudah biasa merasakan atmosfera yang sama. Kami boleh katakan tekanan yang diberikan oleh penyokong Malaysia akan menambahkan semangat kepada pemain kami,” kata Yeyen dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.

Menurut Yeyen lagi, dia dan pemainnya tidak merasa tertekan dengan keadaan skuad Garuda yang masih belum mengutip sebarang mata selepas empat perlawanan.




“Belum mendapat mata bermaksud ada hal-hal yang perlu kami perbaiki. Di setiap pertandingan pasti ada tekanan untuk semua orang kerana kami perajurit di atas padang yang akan berdepan sama ada menang atau kalah. Bagi kami semua termasuk pemain, tekanan itu kami akan hadapi dengan penyudahan yang sama, menang atau kalah. Tapi kami tahu, ini perlawanan yang cukup berat kerana kami bertandang ke tempat lawan dan Malaysia sedang mempunyai keyakinan tinggi. InsyaAllah, kami akan berikan yang terbaik.”

Menurut pemain pertahanan Indonesia, Yanto Basna, skuad Garuda kini sudah bersiap terutamanya kerana mereka sudah tiba di Malaysia lebih awal.

“Kami semua sudah datang sejak awal dan menyesuaikan diri dengan baik di sini. Kami juga sudah bersedia dengan hujan atau cuaca-cuaca lain. Latihan strategi dan taktik sudah kami lakukan dengan baik. Kami siap sedia untuk bertempur esok.” – foxsport