Tan Cheng Hoe waspada barisan baharu Indonesia

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berwaspada dengan kelibat jurulatih baharu serta hampir separuh pemain-pemain baharu yang membarisi skuad Indonesia pada saingan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ketika ini, skuad kebangsaan Indonesia dilatih oleh Yeyen Tumena setelah Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bertindak ‘merehatkan’ ketua jurulatih sebelum ini, Simon Mcmenemy tewas dalam keempat-empat perlawanan peringkat Kumpulan G.



Dan jurulatih berusia 43 tahun tersebut turut memanggil beberapa nama baharu untuk memperkuatkan skuad Garuda menjelang perlawanan bertemu Malaysia di Stadium Nasional Jalil, malam esok.

“Esok merupakan perlawanan terakhir bagi tahun 2019, kami mahu mendapatkan keputusan yang positif walaupun kita telah menewaskan Indonesia semasa aksi terdahulu.

“Bagaimanapun, esok akan menjadi perlawanan yang berlainan kerana Indonesia turun dengan barisan pemain baharu, ketua jurulatih baharu, mereka melakukan persiapan dengan serius di mana Indonesia telah berkampung di sini selama seminggu.” kata Tan Cheng Hoe dalam sidang media, tengah hari tadi.




Selain daripada jurulatih dan barisan pemain baharu, Tan Cheng Hoe juga sedia maklum akan kelibat skuad kebangsaan Indonesia yang telah melakukan persiapan dengan rapi di Malaysia.

Mereka turut mengadakan pemanas badan menentang skuad PKNS FC dan berjaya meraih keputusan positif, merekodkan kemenangan 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Latihan PKNS FC pada khamis lalu.

Justeru, Tan Cheng Hoe menasihatkan anak-anak buahnya agar tidak memandang enteng cabaran daripada Indonesia dan menumpukan sepenuh perhatian untuk meraih kemenangan seterusnya.

“Sebagai jurulatih, saya sentiasa menasihatkan pemain-pemain saya bahawa perlawanan menentang Indonesia adalah penting.” tambah Tan Cheng Hoe lagi.

Terdahulu dilaporkan Indonesia menggugurkan Andik Vermansyah, Beto Goncalves, Evan Dimas dan Stefano Lilipaly.