Khairul Azhan atau Farizal pilihan Cheng Hoe?

Khairul Azhan atau Farizal

Selama bertahun-tahun, posisi penjaga gol skuad kebangsaan dilihat ibarat milik mutlak Farizal Marlias.

Penjaga gol Johor Darul Ta’zim berjaya mengekalkan posisi dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu walaupun cuba dicabar oleh beberapa nama seperti Khairul Azhan Khalid dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.


Namun, percaturan Cheng Hoe meletakkan Khairul Azhan selaku penjaga gol utama sewaktu menewaskan Thailand dalam aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, Khamis lalu menimbulkan persoalan siapa yang bakal menjadi pilihan pengendali itu menentang Indonesia, malam ini.

Berikutan tiket di Stadium Nasional Bukit Jalil dilaporkan habis dijual, semua penyokong Harimau Malaya sudah pasti bersemangat untuk melihat kemenangan ketiga diraih hasil daripada lima perlawanan.

Dan tentunya persembahan cemerlang Khairul Azhan sewaktu membenam skuad Gajah Perang itu didambakan, jika Cheng Hoe menjadikan aksi Khamis lalu sebagai alasan untuk dia mengekalkan penjaga gol Selangor itu dalam kesebelasan utama.

Namun, walaupun Indonesia dilihat bukan pilihan dalam pertemuan kali ini tetapi ia tetap menjadi perlawanan getir buat Harimau Malaya dan Farizal, yang sudah memiliki pengalaman di pentas tertinggi di peringkat kelab, Liga Juara-Juara Asia, tentunya bersedia sekiranya kembali diberi tanggungjawab mengawal gawang skuad negara.




Biarpun skuad Garuda itu bakal turun tanpa ayam tambatan, Beto Goncalves, yang merobek gawang Malaysia dua kali sewaktu di Jakarta, sebelum ini, skuad negara seharusnya berwaspada sambil pemilihan posisi penjaga gol memainkan peranan dalam menggalas tugas selaku benteng terakhir.

Tidak kira sama ada Khairul Azhan atau Farizal yang menjadi pilihan Cheng Hoe malam ini, pengendali yang pernah menjadi ketua jurulatih Kedah itu sudah tentu telah mengenal pasti nama yang akan dipertaruhkan dalam kesebelasan utama nanti.

Aksi tangkas Khairul Azhan melayangkan badan menafikan percubaan lawan atau persembahan cemerlang Farizal yang sering menyelamatkan sepakan penalti, keistimewaan yang dimiliki kedua-dua pemain itu mungkin bakal memainkan peranan utama memastikan Malaysia meraih kemenangan, malam ini.