Johor Darul Ta’zim Tidak Sambung Kontrak Darren Lok

Image result for Darren Lok

Juara Liga Super musim 2019, Johor Darul Ta’zim mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bekas penyerang skuad kebangsaan, Darren Lok bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Darren dimana beliau memuat naik gambar di laman media sosial Twitter miliknya dimana beliau mengucapkan terima kasih kepada pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selama beraksi bersama pasukan tersebut.


Darren mula menyarung jersi JDT bermula pada 2016 setelah beliau beraksi bersama Eastbourne Borough FC di saingan bawahan Liga England. Tahun tersebut merupakan tahun gemilang pemain berusia 28 tahun ini dimana selain beraksi bersama JDT, Darren turut mendapat panggilan pertama untuk mewakili pasukan kebangsaan.

Ketika pasukan negara dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee, Darren Lok disenaraikan dalam skuad yang dibawa bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2016. Namun, Malaysia gagal untuk melepasi peringkat kumpulan setelah hanya meraih satu kemenangan.




Bersama JDT, pemain berdarah campuran Malaysia-England ini banyak beraksi bersama JDT II dalam saingan Liga Perdana dan hanya beberapa kali dipanggil bagi beraksi bersa pasukan utama. Baru-baru ini, Darren membantu JDT II bimbingan Ervin Boban menjuarai Piala Cabaran dengan menewaskan UKM FC di pentas akhir.

Masih belum diketahui destinasi seterusnya bagi Darren sama ada beliau kekal dalam saingan Liga Malaysia atau kembali beraksi di England. Pengalaman yang dimiliki oleh beliau dilihat mampu untuk membantu pasukan serta memberikan lebih banyak pilihan di bahagian serangan.