Mourinho mampu bantu Spurs julang trofi – Kane

LONDON: Harry Kane berharap Jose Mourinho mampu mencetuskan trofi yang diidamkan Tottenham selepas mengambil alih tugas selaku pengurus daripada Mauricio Pochettino.



Pengendali dari Portugal itu kembali mengendali perlawanan selepas 11 bulan apabila membantu kelab kendalian baharunya itu meraih kemenangan 3-2 ke atas West Ham, Sabtu lalu – kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris di laman lawan sejak kali terakhir dikecapi mereka Januari lalu.

Kane adalah penyokong tegar Pochettino – yang menjadikannya salah seorang penyerang terkemuka di dunia – selain pernah melawat pengendali dari Argentina itu di rumahnya selepas dipecat.

“Ia satu minggu yang saya tidak pernah alami dalam karier sebelum ini,” kata kapten England itu. “Malam Selasa yang penuh kejutan buat semua orang, termasuk pemain dan kemudian ia berubah sekelip mata.

“Semuanya berlaku secara tiba-tiba, kami mempunyai pengurus baharu, salah seorang pengurus terbaik dalam perlawanan, jadi secara automatiknya kamu perlu menerimanya dan memberi sepenuh tumpuan kepada permainan.”




Pochettino, yang membawa Spurs ke final Liga Juara-Juara Jun lalu, menamatkan karier lima tahun setengah bersama pasukan tanpa sebarang trofi.

Kane menegaskan keinginannya untuk memenangi trofi di Spurs dan berharap Mourinho – bekas pengendali Chelsea dan Manchester United – mampu membantunya mencapai impiannya itu.

“Dia menang dalam setiap kelab disertainya – itu adalah sesuatu yang tak dapat disangkal lagi,” kata Kane. “Dia mahukan kemenangan. Dia seorang juara yang sudah pun terbukti. Saya ingin jelaskan, yang saya berada di peringkat karier di mana saya mahu menang trofi. Saya mahu menang di sini dan ia satu tahun yang besar buat kami.”

Kane berkata, reputasi Mourinho untuk memenangi trofi memberi keyakinan kepada pemain. – AFP