Jangan ganggu, Nak runding tunggu lepas Sukan SEA 2019 – Kim Swee

Pengendali skuad bawah 22 tahun kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee meminta supaya mana-mana pasukan yang mahu berunding dengan pemainnya untuk mendapatkan tandatangan mereka bagi musim baru Liga Malaysia, agar menunggu sehingga berakhir temasya Sukan SEA 2019.


Adalah diketahui ketika ini semua pasukan sedang rancak melakukan persiapan dengan aktif merekrut pemain-pemain baru bagi memperkuatkan pasukan, dan beberapa pemain dari skuad Kim Swee adalah antara yang menjadi buruan.

“Kita bermain dalam satu kejohanan yang berlangsung pada hujung tahun selepas saingan liga berakhir, jadi saya faham ini adalah musim perpindahan pemain. Cuma saya berharap tiada sebarang tawaran atau rundingan dibuat kepada pemain saya ketika ini, biarlah mereka memberikan sepenuh tumpuan kepada temasya yang sedang berlangsung ini.

“Kelab mungkin ada pandangan berbeza, tetapi ini adalah tugasan negara, kita ada perlawanan getir untuk diharungi dan fikiran mereka tidak boleh terganggu, biarlah mereka fikirkan tentang sebarang tawaran selepas pulang dari Manila, mereka akan ada lebih masa,” kata Kim Swee yang membawa misi merampas semula pingat emas Sukan SEA yang kali terakhir dimenangi pada 2011.




Malaysia membuka tirai Sukan SEA 2019 dengan mencatat keputusan seri 1-1 menentang Myanmar pada Isnin lalu dan akan berdepan dengan tuan rumah Filipina dalam aksi kedua pada 29 November ini.

Kim Swee berharap pasukannya akan tampil lebih tajam kali ini bagi memastikan kemenangan sulung dapat dilakar seterusnya mencerahkan peluang ke separuh akhir.

“Menentang tuan rumah di padang sintetik, saya jangka ia satu perlawanan sukar, dalam masa sama mencipta peluang adalah penting tetapi sudah tentu selepas ini kita harus pastikan peluang yang kita cipta itu kita mampu manfaatkannya dengan menjaringkan gol. Serangan-serangan yang kita lakukan kalau kita tidak mampu menjaringkan gol bermakna kita mungkin menghadapi masalah nanti,” kata pengendali berusia 48 tahun itu.