Filipina perlu tewaskan Malaysia – Milojevic

MANILA: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) Filipina, Goran Milojevic menyifatkan pertemuan dengan Malaysia dalam aksi Kumpulan A Sukan SEA 2019, malam ini sebagai perlawanan ‘hidup mati‘ buat mereka.

Katanya, kekalahan 1-2 di tangan Myanmar, semalam nyata perit buat pasukan itu yang meletakkan anak buahnya tidak mempunyai pilihan selain menumbangkan Malaysia bagi menghidupkan peluang untuk melangkah ke separuh akhir.


“Sukar untuk kami menerima kekalahan ini (tewas di tangan Myanmar) kerana kami terpaksa bangkit daripada ketinggalan 0-1. Namun, kami berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama.

“Separuh kedua kami bermain dengan lebih baik dan mencipta peluang bagi menjaringkan gol tetapi Myanmar mendapat gol kemenangan. Ini akan menjadi pengajaran berguna buat kami apabila berdepan Malaysia nanti yang mana kami perlu mencipta kemenangan,” katanya.

Pada aksi pertama menentang Kemboja, Isnin lalu, The Azkals sekadar seri 1-1 sekali gus meletakkan mereka dalam situasi terdesak bagi mencipta kemenangan sulung.




Pengendali berusia 54 tahun dari Serbia itu, berkata dia akan melakukan sedikit perubahan dalam kesebelasan dan aspek taktikal bertemu Malaysia yang disifatkannya memiliki ramai pemain berkualiti.

“Kami perlu menunggu perkembangan beberapa pemain kami yang mengalami kecederaan sama ada boleh diturunkan atau tidak. Jadi, sudah pasti akan ada perubahan juga dari aspek taktikal.

“Kami melakukan analisis video perlawanan setiap lawan kami di sini dan sudah pasti kami akan merancang sesuatu untuk menentang Malaysia berdasarkan kekuatan kami.

“Kami menghormati Malaysia, namun kami dalam situasi yang mana kami perlu mencipta kemenangan,” kata Milojevic.