Kedah mahu layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC

Skuad Kedah memasang impian untuk layak ke peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara AFC selain daripada memposisikan diri mereka selaku pencabar dalam saingan liga domestik musim 2020.

Perkara itu dilaungkan oleh Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Anas Hafiz Mustaffa semasa sidang media yang dilangsungkan di Stadium Darul Aman, baru-baru ini.


“Sasaran utama Kedah FA adalah layak ke peringkat kumpulan (Liga Juara-Juara) AFC dan juga pencabar utama Liga Super untuk tahun 2020.” katanya di hadapan para wartawan.

Kedah atau turut dikenali sebagai Helang Merah mendapat slot ke pusingan 2 kelayakan Liga Juara-Juara AFC selepas dinobatkan selaku juara Piala FA 2019.

Namun, untuk layak ke saingan paling berprestij di Asia tersebut, laluan berliku menanti Sang Helang Merah. Mereka terlebih dahulu perlu menewaskan juara Liga Premier Hong Kong, Tai Po FC pada pusingan 2 kelayakan sebelum mara ke pusingan 3 kelayakan Liga Juara-Juara AFC.

Menanti mereka di pusingan 3 kelayakan tersebut adalah wakil daripada Republik Korea di antara FC Seoul atau Daegu FC yang kini sedang berebut tempat ke-3 saingan K-League 1 musim 2019.




“Kami meletakkan sasaran untuk layak bermain di peringkat kumpulan (Liga Juara-Juara) AFC, jadi kami perlu menang kedua-dua perlawanan, di sini (Alor Setar) dan di (Republik) Korea dan nak jadi pasukan pertama daripada Liga Super yang layak bermain dalam peringkat kumpulan (menerusi pusingan kelayakan), itu sasaran paling besar kami.” jelas Anas yang juga merupakan Ketua Unit Pasukan Liga Super Kedah.




“Selain daripada itu, di peringkat domestik sebagai sebuah pasukan kita harap kita boleh jadi pesaing utama untuk mencapai kemenangan, untuk Liga Super kita sasarkan pada musim 2020 untuk menjadi pencabar, untuk menjadi juara Liga Super. Itu kita punya sasaran.”

“Dari segi (kejohanan) Piala FA dan yang lain-lain, jika ada rezeki, itu juga sasaran kita.” tambahnya lagi.

Jelaslah bahawa keputusan mereka mahu menandatangani khidmat duo penyerang prolifik Liga Super iaitu Kpah Sherman dan Tchetche Kipre selain daripada mengekalkan duo pertahanan musim lalu, Renan Alves serta Shakir Hamzah adalah untuk merealisasikan impian tersebut.

Sebagai tambahan untuk memperkukuhkan lagi pasukan pada musim 2020, Kedah turut mengumumkan bakal mengikat beberapa pemain tempatan berkaliber seperti Hadin Azman, Irfan Zakaria dan penjaga gol, Shahril Sa’ari.

Malah ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak sedang giat memantau pemain tengah dari Jepun, Tajikistan dan Australia untuk direkrut ke dalam skuadnya bagi mengisi kuota pemain import Asia. – foxsport