Perak hilang khidmat Ronaldo, Brendan

KUALA LUMPUR: Ketika Kedah rancak mendapatkan pemain baharu, situasi sebaliknya pula dihadapi jirannya, Perak apabila dua tonggak, Ronaldo Henrique Silva dan Brendan Gan mengesahkan ‘angkat kaki’ daripada pasukan berkenaan.


Ketika Brendan dikaitkan dengan beberapa pasukan tempatan, Ronaldo mengambil keputusan untuk mengikat kontrak dengan kelab di negara kelahirannya Brazil.

“Ya.. saya tandatangan dengan kelab Brazil tetapi tiada apa yang saya boleh katakan. Saya pasti akan merindui bola sepak di Malaysia.

“Masanya untuk pulang. Kepada mereka yang menyokong, saya ucapkan terima kasih. Saya menutup musim dengan 12 gol daripada 21 perlawanan,” kata Ronaldo.

Perak menyenaraikan Ronaldo dan Raianderson Da Costa Morais (Careca) pada jendela perpindahan kedua musim lalu bagi menggantikan Gilmar Jose Da Silva Filho dan Wander Luiz.




Kemampuan pemain kelahiran Sao Paulo itu terbukti seawal perlawanan pertamanya ketika menghasilkan dua gol ketika menumpaskan PKNP FC 2-1 pada aksi suku akhir Piala FA.

Sementara itu, Brendan menerusi laman sosial Instagram miliknya mengesahkan turut ‘angkat kaki’ namun tidak mendedahkan pasukan mana yang bakal diwakili musim depan.

“Ini masa untuk saya turut mengumumkan betapa saya berasa sedih untuk meninggalkan Perak selepas mengharungi tempoh dua tahun yang cukup hebat. Saya dan pengurusan tidak mencapai kata sepakat.

“Saya sudah berikan segala-galanya setiap kali memasuki padang namun ada kalanya ia tidak mencukupi,” katanya. – Berita Harian