Tempoh 10 minit kecewakan Man United – Solskjaer

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui dua gol Astana yang tercipta dalam tempoh 10 minit pada perlawanan Liga Europa awal pagi tadi sebagai detik paling mengecewakannya selepas tewas mengejut 1-2 kepada pasukan dari Kazakhstan itu.



Bermain di Astana Arena, United terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Jesse Lingard pada minit ke-10 sebelum Astana bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit melalu Dmitriy Shomko minit ke-55 dan gol sendiri pertahanan muda United, Di’Shon Bernard pada minit ke-62.

United yang turun dengan sebahagian besar pemain akademi seperti Bernard, James Garner, Dylan Levitt, Ethan Laird, Angel Gomes dan Mason Greenwood bagaimanapun cukup berbahaya dengan mencipta serangan selain menguasai permainan.

Namun, ketumpulan di hadapan gol selain jaringan yang dicipta Astana dalam tempoh 10 minit menamatkan rekod empat kemenangan berturut-turut The Red Devils dalam saingan Liga Europa itu.

“Kami kecewa dengan keputusan perlawanan hari ini, tetapi saya fikir kami memulakan perlawanan dengan cara yang terbaik. Para pemain mengawal permainan, menjaringkan gol yang cantik dan cuba bangkit selepas bolos dua gol.

“Saya hanya kecewa dengan permainan selama 10 minit ketika bolos dua gol tersebut. Pemain dapat merasakan tekanan dalam tempoh 10 minit itu tetapi tidak mampu menguasai semula bola sehingga lawan dapat menjaringkan gol,” katanya.

Bagaimanapun, Solskjaer tetap memuji persembahan yang dipamerkan terutama daripada pemain muda yang tidak gugup untuk beraksi dalam perlawanan besar seperti Liga Europa.




“Tiga pemain muda yang melakukan debut bersama Unite di perlawanan ini (Bernard, Laird, dan Levitt) tampil cemerlang dan kredit perlu diberikan semua pemain.

“Ini lah barisan pemain muda yang akan menjadi tonggak harapan United pada masa akan datang. Anda sendir sudah boleh nampak apa yang mereka mampu buat,” katanya.

Kekalahan kepada Astana itu bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan United apabila terus menerajui takhta Kumpulan L dengan 10 mata.