Hadi Fayyadh sedia taji Timor Leste

MANILA: Penyerang tinggi lampai, Hadi Fayyadh Abdul Razak sudah melupakan detik hitam kekalahan di tangan Filipina dan kini dia kembali bermotivasi bagi membantu skuad bawah 22 tahun (B-22) negara meraih kemenangan ke atas Timor Leste dalam aksi Kumpulan A di Stadium Rizal Memorial, malam ini.

Sedar Malaysia bukan saja memerlukan kemenangan tetapi turut perlu menjaringkan gol yang banyak, Hadi Fayyadh sudah bersedia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penyerang bagi merobek gawang gol lawan sekali gus memastikan matlamat pasukan tercapai.


“Selepas kekalahan itu (di tangan Filipina), tidak dinafikan semua pemain kecewa kerana tiada siapa yang mahukan kekalahan. Namun, selepas dua hari ini semua pemain nampak sudah kembali fokus dan bermotivasi.

“Kami perlu lupakan kekalahan itu kerana kami ada tugasan yang belum selesai. Ada lagi dua perlawanan yang perlu kami harungi.

“Sebagai penyerang sudah pasti tugas saya adalah menjaringkan gol, begitu juga pemain di bahagian serangan yang lain. Kami semua akan berikan aksi terbaik bagi meraih kemenangan ke atas Timor Leste… itu yang paling penting,” kata penyerang kelab Fagiano Okayama itu.




Hadi Fayyadh mengakui jentera serangan skuad negara banyak mensia-siakan peluang bagi menjaringkan gol dalam dua perlawanan awal sebelum ini dan berharap skrip sama tidak berulang lagi.

“Dua gol yang kita bolos dalam perlawanan sebelum ini adalah menerusi set-piece. Bukannya kita tidak mencipta peluang, ada tetapi kami gagal memanfaatkannya. Kami tidak boleh lakukan perkara sama menentang Filipina kerana semua tahu kami perlu gol yang banyak,” katanya.

Malaysia ketika ini dalam keadaan terdesak bagi memburu kemenangan pertama apabila sekadar mengutip satu mata selepas seri 1-1 dengan Myanmar pada aksi pembukaan dan tewas 0-1 di tangan Filipina, Jumaat lalu.

Situasi itu meletakkan pemain negara tidak mempunyai pilihan selain menang dua perlawanan terakhir kumpulan dengan jumlah jaringan yang besar. – Berita Harian