Hadi sedia tebus kekalahan di tangan Kemboja

MANILA: Penyerang, Hadi Fayyadh Abdul Razak menegaskan rekod buruk dengan Kemboja tahun ini bukanlah petanda skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara tidak mampu melepasi saingan peringkat kumpulan Sukan SEA 2019.

Sebagai rekod skuad muda negara tewas 0-1 di tangan Kemboja pada saingan Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Februari lalu.


Bagaimanapun, Hadi berkata biarpun rekod pertemuan tidak memihak kepada skuad negara tahun ini, namun dia percaya rakan sepasukan sudah bersedia untuk menebus kekalahan itu di Stadium Rizal Memorial, petang esok.

“Diharapkan kekalahan itu tidak menjejaskan semangat pasukan. Saya ambil ia sebagai suntikan semangat untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik.

“Kita tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan kerana setiap pasukan ada kelebihan dan kekuatan masing-masing. Saya harap semua dapat berikan yang terbaik,” kata penyerang kelab Fagiano Okayama itu.




Skuad muda negara berdepan misi wajib menang ke atas Kemboja bagi memburu satu lagi slot ke separuh akhir selepas Myanmar layak ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan A.

Hadi berkata tahap keyakinannya semakin meningkat terutama selepas meledak dua gol bagi membantu Malaysia menewaskan Timor Leste 4-0, semalam.

Ia adalah gol ketiga peribadinya pada temasya Sukan SEA kali ini selepas turut menjaringkan gol ketika seri 1-1 dengan Myanmar dalam aksi pembukaan, minggu lalu.

“Syukur saya dapat menjaringkan dua gol. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua jurulatih dan pemain kerana memberi komitmen 100-200 peratus.

“Ini keputusan yang baik buat kita, walaupun sebenarnya kita boleh dapat lebih banyak gol, tapi empat ini pun saya rasa bersyukur. saya harap kita dapat teruskan untuk aksi lawan Kemboja,” katanya.