Nasib baik tak bolos – Kim Swee

DATUK Ong Kim Swee akui skuad kendaliannya bernasib baik apabila tidak dibolosi ketika skuad bawah 22 (B-22) berjaya merakam kemenangan sulung 4-0 ke atas Timor Leste dalam aksi ketiga Kumpulan A Sukan Sea 2019 di Stadium Memorial Rizal, malam ini.


Katanya, perbezaan gol amat diperlukan oleh anak buahnya menjelang aksi terakhir bertemu Kemboja Rabu ini bagi meletakkan Malaysia di kedudukan lebih selesa untuk ke separuh akhir.

Ketika ini, tiga pasukan dalam kumpulan A berkongsi empat mata sekali gus aksi terakhir bakal menjadi penentu buat Kemboja, Filipina dan Malaysia.

Satu lagi pasukan, Myanmar sah muncul juara kumpulan selepas mengekalkan rekod bersih dalam empat aksi kumpulan apabila membenam Kemboja 2-1.

“Apa yang menjadi perhatian saya dalam aksi ini adalah jumlah jaringan. Kami bernasib baik di mana mereka (Timor Leste) mempunyai banyak peluang tapi tidak dapat menyempurnakannya.




“Ia sekurang-kurangnya memberi sedikit kelebihan sebelum kami turun perlawanan terakhir. “Apapun, tiga mata ini cukup bermakna dan amat baik untuk kami menghadapi aksi terakhir kumpulan dan saya harap kita mampu laksanakan tugas dengan baik nanti,” katanya pada sidang media.

Sementara itu, pengendali Timor Leste, Fabiano Flora menyifatkan pasukannya tidak sepatutnya kalah.

“Pemain beraksi baik dengan mengekalkan disiplin dan taktikal. Kami mempunyai banyak peluang tapi kekurangan pengalaman membezakan kami dengan Malaysia,” katanya yang mula membimbing pasukan sejak enam bulan lalu.