Chelsea bebas beli, jual pemain

LONDON: Chelsea bebas untuk menandatangani pemain baharu pada jendela perpindahan Januari ini selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengurangkan hukuman penggantungan perpindahan yang dikenakan ke atas kelab itu sebelum ini.


CAS dalam satu kenyataan juga menjelaskan denda ke atas Chelsea turut dikurangkan daripada 600,000 franc Swiss (RM2.5 juta) kepada 300,000 franc Swiss (RM1.2 juta).

Chelsea yang juga juara Liga Europa musim lalu dikenakan penggantungan dua jendela perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana melanggar peraturan perpindahan antarabangsa dan pendaftaran pemain bawah 18 tahun.

“(Chelsea) diharamkan untuk mendaftarkan mana-mana pemain baharu, sama ada secara nasional atau antarabangsa bagi satu tempoh pendaftaran keseluruhan yang mana kelab itu sudah menjalani (hukuman penggantungan) semasa tempoh pendaftaran musim panas 2019,” kata CAS.

Chelsea yang kini berada di kedudukan keempat dalam Liga Perdana Inggeris bertindak memfailkan rayuan di CAS pada Jun lalu.




Selain itu, CAS menjelaskan pelanggaran peraturan yang dilakukan Chelsea hanya membabitkan “sebilangan kecil pemain”.

Malah, penimbang tara juga hanya menemui “kira-kira satu pertiga daripada pelanggaran” yang didakwa oleh FIFA.

“Pelanggaran peraturan RSTP (Peraturan Status dan Perpindahan Pemain) didapati kurang serius daripada yang disifatkan FIFA terhadap Chelsea,” kata kenyataan itu. – REUTERS