Ong Kim Swee bakal jurulatih Sabah?

Pendatang baharu Liga Super 2020, Sabah memberi bayangan akan menandantangani khidmat jurulatih skuad Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih skuad Tambadau, musim depan.


Perkara itu dikuatkan lagi dengan satu hantaran oleh laman sosial rasmi Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang memuatnaik sebuah keratan akhbar oleh NST yang memaparkan berita bertajuk ‘FAM in no hurry to find replacement’ pada hari ini.

Ia turut disertakan dengan caption, “Maybe, just wait and see.” seperti ditulis oleh laman sosial tersebut.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi setiausaha agungnya, Stuart Ramalingam telah mengumumkan tidak akan menyambung kontrak jurulatih berusia 48 tahun tersebut setelah kontraknya tamat pada penghujung disember ini.




Difahamkan, khidmat ketua jurulatih Sabah ketika ini, Jelius Ating yang memacu skuad Tambadau memenangi Liga Premier 2019 tidak dapat diteruskan pada musim hadapan memandangkan beliau tidak memiliki Lesen Pro AFC.

Lesen Pro AFC merupakan kriteria wajib oleh setiap ketua jurulatih untuk melatih mana-mana pasukan yang bersaing dalam saingan Liga Super musim depan.

Justeru, SAFA telah merancang untuk mencari jurulatih lain yang memiliki Lesen Pro AFC bagi membimbing pasukan tersebut pada musim hadapan dan Jelius Ating akan ‘diturunkan’ pangkatnya menjadi penolong jurulatih.

Ong Kim Swee dilihat sebagai calon yang tepat memandangkan beliau berada dalam fasa akhir untuk melengkapkan permohonan Lesen Pro AFC-nya menjelang hujung tahun ini. – foxsports