Frank Bernhardt bakal kendali UiTM FC?

Bekas ketua jurulatih pasukan B-23 tahun negara, Frank Bernhardt dikhabarkan bakal mengendalikan salah satu pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.


Pasukan yang baru dinaikkan pangkat ke Liga Super oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu dikatakan berminat dan kini kedua-dua belah pihak sedang mengadakan perbincangan mengenai beberapa perkara.

Pasukan tersebut berminat untuk mengambil khidmat Bernhardt kerana pengendali berusia 50 tahun itu mempunyai pengalaman luas khususnya dalam mengendalikan pasukan muda.

Pasukan yang baharu layak ke Liga Super iaitu Sabah, UiTM dan PDRM, manakala Ong Kim Swee berkemungkinan besar akan mengendalikan pasukan Sabah.




Bernhardt yang dilantik sebagai pengendali skuad B-23 tahun pada 2015 dipecat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Mac 2017 setelah berlaku peralihan tampuk kepimpinan yang menyaksikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilantik sebagai presiden.

Selain pernah menjadi pengendali skuad B-23 tahun negara, Frank Bernhardt juga pernah menjadi pengendali Estonia B-19 dan B-21 serta menjadi Pengarah Teknikal bersama FA Azerbaijan.

Bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan, FAM mewajibkan ketua jurulatih bagi pasukan Liga Super perlu memiliki lesen kejurulatihan Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).