JDT tak tertekan saingan ACL 2020

KUALA LUMPUR: Sasaran mara ke pusingan kalah mati Liga Juara Juara (ACL) 2020 tampak tidak memberi tekanan kepada juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal tampil buat kali kedua berturut-turut dalam saingan elit benua Asia itu.




Pengurus skuad Harimau Selatan, Luciano Figueroa menegaskan sasaran yang diletakkan itu mampu menjadi penyuntik semangat dalam misi melangkah lebih jauh selepas penampilan pertama pada musim 2019 terhenti setakat di peringkat kumpulan.

“Sangat bagus untuk memiliki tekanan sebegini. JDT adalah pasukan yang besar dan jika anda berada di pasukan yang besar, sudah pasti akan ada tekanan.

“Namun kami akan terus berpegang kepada objektif kami untuk memberikan yang terbaik supaya dapat mara ke pusingan seterusnya. Jadi kita tunggu dan lihat,” katanya.




Terdahulu, dalam satu sesi wawancara menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers minggu lalu, pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengharapkan JDT dapat melepasi peringkat kumpulan sekali gus mara ke pusingan kalah mati bagi saingan ACL 2020.

Dalam masa sama, bekas pemain JDT itu mengakui masih banyak lagi ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan anak buahnya bagi mengharungi kempen ACL kali ini namun dia melontarkan keyakinan terhadap kekuatan yang dimiliki pasukan itu.

“Kita ada pemain yang bagus dan keserasian antara mereka juga sudah berada pada tahap yang sangat baik. Semuanya berjalan lancar dan kami sedang bersedia untuk mengharungi sesi pramusim sebelum berdepan musim baharu.

“ACL adalah saingan tertinggi di Asia dan kita perlu terus meningkatkan lagi prestasi dan menjadi bertambah baik dalam semua aspek. Pemain juga sudah faham apa yang diperlukan dan tahu cara untuk menentang pasukan yang kuat,” kata Figueroa.