Lewat keluarkan jadual baharu Liga-M 2020 sukarkan persiapan pasukan

Ketua jurulatih Selangor, B. Sathiananthan mengakui beliau mempunyai sedikit kesukaran merancang persiapan untuk pra musim bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan memandangkan jadual perlawanan baharu masih belum nampak bayangannya.


Skuad gergasi merah akan memulakan sesi latihan pertama mereka pada hari esok namun Satiananthan berharap badan pentadbir liga, Malaysia Football League (MFL) dapat mengeluarkan jadual Liga Malaysia 2020 lebih awal untuk memudahkan semua pasukan membuat persiapan yang lebih rapi tanpa sebarang masalah.

“Kami akan memulakan sesi latihan pada hari esok dan semua pemain kecuali yang terlibat dalam skuad kebangsaan akan melapor diri pada 18 Disember.

“Pemain skuad kebangsaan ini diberi rehat yang panjang supaya mereka mempunyai masa yang cukup untuk kembali dalam keadaan segar.

“Kami dimaklumkan Liga Super akan bermula pada pertengahan bulan Februari tetapi sekarang orang kata mungkin hujung Februari dan sehingga kini belum ada pengumuman rasmi daripada MFL,” katanya seperti dipetik dalam akhbar berbahasa Inggeris, The Star.





Antara sebab-sebab jadual liga perlu dikeluarkan lebih awal ialah memudahkan urusan pihak pengurusan pasukan menempah hotel penginapan dan tiket penerbangan, memudahkan urusan pihak media dan penyokong untuk merancang jadual perjalanan serta perancangan persiapan skuad kebangsaan.

Mengulas mengenai persiapan Selangor menghadapi musim yang lebih mencabar pada tahun depan, Satiananthan mengesahkan beliau telah berjaya mendapatkan beberapa pemain baru yang dikehendakinya.

Selangor setakat ini telah mengekalkan khidmat tiga pemain import iaitu Sandro Da Silva, Rufino Segovia dan Taylor Regan. Mereka turut melakukan rombakan dengan melepaskan 8 pemain untuk membentuk barisan yang lebih mantap pada musim depan.

“Kami telah selesai “membeli-belah” lebih awal untuk musim baru. Rufino beritahu saya, beliau kini sudah cergas sepenuhnya dan saya rasa seperti memiliki pemain baharu bersama pasukan.

“Saya kini dalam proses untuk membentuk keserasian antara pemain, ianya akan mengambil masa dan berharap pemain lebih cepat menyesuaikan diri,” jelasnya. – VocketFC