Ljungberg gesa Arsenal lantik pengurus tetap

LONDON: Pengendali sementara Arsenal, Freddie Ljungberg percaya kelab itu perlu pantas melantik pengurus secara tetap bagi menghalang kemerosotan daripada berterusan selepas Gunners tewas 3-0 kepada Manchester City di Emirates, awal pagi tadi.



Bintang Belgium, Kevin De Bruyne meledak dua gol dan bergandingan bersamaRaheem Sterling bagi menyempurnakan jumlah jaringan City yang menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola itu merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana, Liverpool kepada 14 mata.

Mereka juga hanya dibezakan empat mata dengan pasukan tangga kedua, Leicester yang bakal ditentang, minggu ini dengan Arsenal kekal di tangga kesembilan Liga Perdana selepas hanya meraih satu kemenangan daripada 12 perlawanan dalam semua kejohanan.

Ljungberg hanya mengendalikan kelab itu untuk lima perlawanan setakat ini tetapi dia berharap pelantikan pengurus baharu secara tetap dapat dimuktamadkan sebelum kunjungan kelab itu ke Everton, minggu ini.




“Satu penghargaan yang hebat untuk melakukan perkara ini, tetapi saya berkata saya fikir ia memerlukan penjelasan, untuk membuat keputusan yang membuat semua orang tahu,” kata Ljungberg.

“Ia bergantung sepenuhnya kepada kelab. Saya cuba melakukan sesuatu yang saya mampu tetapi pasti bagus jika keputusan dapat diambil, tidak kira apa keputusannya.”

Selepas kekalahan kepada seteru tetangga Manchester United minggu lalu, ramai yang tidak yakin penyandang juara itu mampu mencipta kebangkitan tetapi Guardiola mengubah corak taktikalnya bagi memperoleh keputusan yang diharapkan.

Bagi Arsenal, kekalahan di Emirates adalah yang keenam buat pasukan itu di gelanggang sendiri dengan kali terakhir kemarau sama berlaku di adalah pada musim 1994-95. – AFP