Tolong sedarkan Akhyar – Azraai Khor

Jurulatih berpengalaman luas, Azraai Khor Abdullah bimbang masa depan dan karier pemain muda, Akhyar Rashid akan musnah seandainya tidak diselamatkan daripada terus hanyut dalam dunianya sendiri dan terus mencipta kontroversi demi kontroversi.

Pemain Muda Harapan Liga Malaysia 2019 itu sudah banyak mencuri tumpuan atas sebab yang salah sepanjang tahun ini malah baru-baru ini Pemilik Johor Darul Takzim Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan dia telah beberapa kali didenda kerana melanggar etika dan memberi imej buruk kepada kelab.


Terbaru tersebar pula gambar Akhyar dan pemain muda meningkat naik, Luqman Hakim Samsudin bercuti bersama sekumpulan gadis dipercayai pasangan masing-masing di Phuket dan bagi Azraai yang mengikuti rapat perkembangan Akhyar, pemain itu perlu disedarkan betapa perlunya dia menjaga nama baik dan penampilan.

“Akhyar pemain muda yang sangat berbakat malah beruntung kerana mendapat peluang menyertai JDT. Semua orang tahu JDT adalah pasukan yang lengkap. Fasilitinya bertaraf antarabangsa, pengurusan profesional dan kebajikan pemain sentiasa terjamin.




“Tapi, sayang Akhyar seolah-olah mensia-siakan peluang keemasan yang diperolehnya itu dengan mencetuskan pelbagai kontroversi. Bagi saya Akhyar belum matang dan tidak memahami apa erti sebenar kedudukannya sebagai pemain profesional. Dia tidak dapat membezakan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.

“Seseorang yang rapat dengan dia sama ada ahli keluarga atau kawan perlu membimbingnya supaya dia tidak terus hanyut. Tarik dia ke tepi dan bercakap dengannya. Saya difahamkan JDT sendiri sudah beberapa kali mendendanya. Saya bimbang jika Akhyar tidak berubah, ia boleh mengancam kedudukannya dalam pasukan itu. Kalau dah kena buang dari JDT, karier Akhyar akan musnah,” ujar Azraai Khor dipetik daripada Labola Malaya .




Azraai Khor pada hakikatnya sudahpun menasihatkan pemain itu agar tidak tewas kepada tiga godaan utama – perempuan, wang ringgit dan populariti – ketika namanya mula menjadi bualan peminat ekoran prestasi cemerlang pada Kejohanan AFC B-23.

Azraai bimbang tiga perkara itu akan memusnahkan karier pemain muda bila mereka mula dibuai dengan keseronokan, kemewahan dan kemahsyuran dan ternyata apa yang dibimbangkan Azraai itu kini berlaku kepada Akhyar yang semakin hari semakin suram prestasinya sehingga sentiasa menjadi sasaran kritikan dan bahan ketawa ekoran prestasi hambar, tidak sama seperti ketika dia bersama Kedah tahun lalu.