[VIDEO] Aston Villa belasah skuad muda Liverpool

BIRMINGHAM: Skuad paling muda Liverpool dibelasah 5-0 oleh Aston Villa dalam perebutan tempat ke separuh akhir Piala Liga, dengan Jonathan Kodjia meledak dua kali.


Liverpool yang dibarisi lima muka baharu dan pemain dengan purata usia sekitar 19 tahun, diberi kepercayaan mengharungi aksi Piala Liga selepas skuad juara Eropah bimbingan Jurgen Klopp berada di Qatar untuk saingan separuh akhir Piala Dunia Kelab menentang Monterrey hari ini.

Faktor kurang pengalaman jelas kelihatan di benteng pertahanan walaupun Liverpool menampilkan aksi lebih baik yang tidak menggambarkan keputusan perlawanan.

“Saya fikir kami cukup baik,” kata pengendali sementara Liverpool Neil Critchley. “Kami tidak bernasib baik dibolosi menerusi sepakan percuma dan gol biasan untuk ketinggalan 2-0.

“Ia malam yang hebat dan tidak ada sesiapa mahu ia berakhir.”

Villa juga melakukan pertukaran dengan Liga Perdana Inggeris menjadi keutamaan dan hampir tergugat apabila Liverpool memulakan permainan dengan cemerlang.




“Ia permainan yang pelik, mungkin paling pelik sepanjang pembabitan saya dalam aksi suku akhir kejohanan besar,” kata pengendali Villa Dean Smith.

“Saya mula membimbing pasukan dari peringkat umur berkenaan. Ia bagus dapat melihat mereka beraksi di peringkat ini, jadi kami perlu menjadi profesional.”

Harvey Elliot muncul pemain paling muda beraksi dalam kancah Liga Perdana pada usia 16 tahun satu bulan musim lalu ketika di Fulham – sebelum berpindah ke Anfield pada musim panas.

Dia turut menampilkan aksi cemerlang apabila percubaannya memaksa Orjan Nyland menyelamat gawang Villa di awal permainan.




Bagaimanapun pesta gol Villa bermula pada minit ke-14 apabila sepakan percuma Conor Hourihane menerjah gawang, diikuti hantaran lintang Ahmed Elmohamady yang terkena Morgan Boyes untuk gol kedua.

Kodjia yang belum menjaringkan gol musim ini selepas peluangnya membarisi kesebelasan utama tertutup susulan kehadiran penyerang Brazil, Wesley, meledak dua gol dalam tempoh lapan minit terakhir babak pertama.

Villa mengendurkan asakan selepas rehat tetapi masih mampu mencipta peluang dengan Wesley dimasukkan dan meledak gol pertamanya selepas 10 perlawanan. – AFP