
Pemain Import Terbaik 2017, Liridon Krasniqi menjadi rekrut terbaharu skuad Harimau Selatan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2020 yang akan bermula hujung februari kelak.
Liridon atau lebih dikenali sebagai Mat Don diumumkan sebagai pemain baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu sidang majlis menandatangani pemain baharu yang diadakan di ibu pejabat JDT pada hari ini.
Sebelum itu, kelibat bekas pemain Kedah dan Melaka United ini sudah beberapa kali dilihat menyertai sesi latihan pramusim skuad Harimau Selatan.
Bagaimanapun pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail ibni Sultan Ibrahim belum membuat sebarang keputusan untuk merekrutnya pada waktu itu.
Dalam sesi pengenalan Liridon sebentar tadi, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora turut menanamkan keyakinan bahawa pemain kelahiran Kosovo ini akan memberikan impak positif kepada pasukan JDT.
Lebih-lebih lagi, pemain berusia 27 tahun ini sudah ‘masak’ dengan saingan Liga Malaysia setelah menyertai Kedah selama 4 musim dan Melaka United selama semusim.
Kehadiran beliau yang mampu beraksi sebagai attacking midfielder, holding midfielder dan box-to-box midfielder akan memberikan cabaran kepada pemain-pemain JDT yang beraksi di posisi tengah seperti Afiq Fazail, Hariss Harun, Leandro Velazquez, Natxo Insa dan Nazmi Faiz.