[VIDEO] Lazio julang Piala Super Itali

LAZIO menjulang Piala Super Itali buat kali kelima selepas menumbangkan Juventus yang mendapat sentuhan Cristiano Ronaldo 3-1 di Riyadh, Arab Saudi awal pagi tadi.

“Kami lakukan sesuatu yang ajaib malam ini,” kata pengendali Lazio Simone Inzaghi.


Lazio, satu-satunya pasukan yang mampu menundukkan Juve dalam saingan Serie A musim ini, berada di depan menerusi Luis Alberto seawal minit ke-16.

Paulo Dybala menyamakan kedudukan sebelum rehat selepas rembatan Ronaldo ditampan ke arahnya oleh penjaga gol Lazio Thomas Strakosha.

Walaupun jentera serangan Juve diperkuatkan pemain handalan seperti Ronaldo, Dybala dan Gonzalo Higuain, Lazio sebaliknya tampil lebih yakin.




Pemain Bosnia Senad Lulic kembali meletakkan Lazio di depan pada minit ke-73 menerusi sepakan voli yang hebat.

Danilo Cataldi melengkapkan kemenangan dalam masa kecederaan menerusi sepakan percuma selepas pemain tengah Juve Rodrigo Bentancur dibuang padang.

Lazio sebelum ini menundukkan Juve 3-1 dalam saingan Serie A di Stadio Olimpico dua minggu lalu – dan sehingga semalam ia satu-satunya kekalahan dialami Maurizio Sarri sepanjang mengendalikan juara Itali itu.

“Kami melakukan sesuatu yang magis. Menewaskan Juventus dua kali dalam tempoh dua minggu sesuatu yang luar biasa.,” kata Inzaghi.

“Saya fikir ini satu lagi kemenangan yang berhak dinikmati pasukan terhebat yang sentiasa percayakan idea kami.”