[VIDEO] Manchester United hampiri empat teratas

BURNLEY, United Kingdom: Anthony Martial dan Marcus Rashford menjaringkan gol di akhir setiap babak untuk Manchester United yang kini melonjak ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 di Burnley.


Anak buah Ole Gunnar Solskjaer bangkit daripada kekalahan 2-0 di tangan pasukan tercorot Watford tidak sampai seminggu lalu untuk memasuki tahun baru dengan keyakinan baharu yang mereka mampu kembali ke Liga Juara-Juara musim depan.

Jika United berjaya mencapai matlamat itu, Martial dan Rashford akan menjadi tonggak penting dan mereka sekali lagi menghasilkan gol buat pasukan pada perlawanan yang tidak mempunyai banyak peluang keemasan.

Solskjaer juga boleh menarik nafas lega selepas rekod kelab – 14 perlawanan Liga Perdana tanpa kemenangan bersih – berjaya ditamatkan.

Burnley tidak pernah menewaskan United sejak tahun 2009 dan tampak sukar untuk melakukan kejutan.

Rashford terlebih dulu menguji gawang Burnley namun rembatannya tersasar.




Burnley menjadi punca kepada gol pertama United apabila Charlie Taylor terlepas bola kepada Andreas Perreira yang membuat umpanan kepada Martial bagi gol ketiganya dalam dua perlawanan.

Phil Bardsley memaksa David De Gea menyelamatkan keadaan dengan percubaan tepat tunggal Burnley dalam perlawanan itu.

United menambah jaringan dalam masa kecederaan apabila Daniel James mengetuai serangan balas yang diakhiri Rashford dengan gol ke-16nya musim ini. – AFP