Pogba tidak akan tinggalkan Man United

LONDON: Bintang tengah Perancis, Paul Pogba kerap dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Manchester United tetapi ejennya, Mino Raiola memberitahu media Britain pemain itu akan kekal di Old Trafford.




Selepas tersisih ketika perlawanan bertemu Burnley dalam aksi Liga Perdana, minggu lalu Pogba dijangka akan disenaraikan oleh pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer ketika kunjungan ke Arsenal pada Tahun Baharu.

Selain dibelenggu masalah kecederaan, kempen Pogba pada musim ini turut diganggu dengan spekulasi perpindahan keluar dari United dengan beberapa kelab utama Eropah turut dikaitkan tetapi Raiola berkata pemain itu akan menghormati kontraknya.

“Paul sentiasa menghormati Manchester United sama seperti Manchester United menghormati Paul. Dan satu-satunya orang yang bercakap untuk Manchester United dan juga Paul adalah Ole…

“Saya akan mengulangi apa yang dia (Solskjaer) kata. Dia (Pogba) tidak akan berpindah dan ia adalah okay. Hubungan kami dengan mereka bagus.

“Selagi Paul berada di Manchester United dia mahu memenangi trofi… dia mahu memberikan 100 peratus. Paul sedikit bergelut dengan kecederaan dan kami sedang cuba untuk perbaikinya dan saya fikir ia adalah keutamaan kami sekarang,” kata Raiola.

Kemenangan 2-0 United ke atas Burnley menyaksikan mereka kini menghuni tangga kelima liga manakala Arsenal jatuh ke tangga ke-12 apabila tewas kepada Chelsea. – Reuters