2020 tahun sibuk buat FAM

KUALA LUMPUR: Tahun 2020 akan terus menjadi tahun yang ‘sibuk’ buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) khususnya dalam misi memperbaiki dan mengukuhkan lagi pelaksanaan pelan hala tuju F:30 yang mula dilancarkan badan induk itu, Oktober tahun lalu.



Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pelbagai agenda bola sepak yang sudah dilancarkan sejak tahun lalu akan dipergiat supaya bola sepak negara berterusan mampu memberi saingan sengit di persada antarabangsa.

“Sudah tentu usaha ini tidak terhenti setakat ini dan pasti akan diteruskan lagi kerja keras untuk sepanjang tahun akan datang.

“Agenda berterusan lain ialah memastikan projek naturalisasi yang menjadi antara usaha jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam melonjakkan standard skuad kebangsaan tanpa mengetepikan program pembangunan yang sedia ada.





“Juga memperbaiki susun atur urus tadbir dan jalinan kerjasama dengan pemegang taruh lebih diperkukuhkan termasuk penambahbaikan untuk memudahkan penyokong menonton perlawanan dengan lebih selesa.

“Semoga tahun 2020 memberi kejayaan lebih baik untuk pasukan kebangsaan dan bola sepak Malaysia khususnya,” kata Hamidin menerusi laman rasmi FAM, hari ini.

Sebagai rekod, beberapa agenda yang berjaya dicapai FAM bagi tahun 2019 adalah antaranya pelancaran Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Piagam Suparimau bagi pembangunan akar umbi selain pengenalan DNA Bolasepak Malaysia.

Selain itu, tahun 2019 turut menyaksikan skuad Harimau Malaya melonjak 13 anak tangga secara keseluruhan iaitu daripada tangga ke-167 pada kemaskini pertama 2019 kepada 154 pada kemaskini terakhir tahun ini.