[VIDEO] Arsenal benam Man United, Kemenangan sulung buat Arteta

Arsenal mencatatkan kemenangan pertama sejak dibimbing Mikel Arteta selepas berjaya menundukkan musuh tradisi, Manchester United 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 yang berlangsung di Stadium Emirates, awal pagi tadi.


Di samping menghadiahkan kemenangan sulung buat Arteta, kejayaan ini turut mengubati kedukaan Arsenal yang tewas pada derbi London bertemu Chelsea tempoh hari.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri nyata menyuntik semangat juang pemain Arsenal untuk tampil dengan cukup bersemangat.

Ia dibuktikan apabila para pemain The Gunners melancarkan beberapa siri serangan berbahaya ke kubu Manchester United yang dikawal David De Gea.

Arsenal membuka tirai jaringan seawal minit kelapan selepas Nicholas Pepe yang tidak dikawal menolak masuk hantaran lintang dilakukan Sead Kolasinac.




Pemain termahal yang dibawa masuk oleh Arsenal itu hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-38, tetapi percubaannya dari luar kawasan penalti sekadar singgah di tiang gol Manchester United.

Penyokong Arsenal sekali lagi melonjak kegembiraan apabila Sokratis Papastathopoulos menyumbat jaringan kedua tuan rumah pada minit ke-42.

Kemenangan itu melonjakkan Arsenal ke tangga ke-10 dengan 27 mata manakala skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer pula kekal di kedudukan kelima selepas mengumpul 31 mata.