Peluang menakjubkan benam Liverpool – Ancelotti

LONDON: Pengurus Everton, Carlo Ancelotti menggesa pemainnya untuk merebut ‘peluang menakjubkan’ apabila bertemu seteru tetangga, Liverpool di pusingan tiga Piala FA, awal pagi isnin.

Ramai pengkritik kurang yakin skuad dengan julukan Toffes itu mampu melakar kejutan di Anfield berdasarkan prestasi semasa Liverpool kendalian Jurgen Klopp dalam saingan Liga Perdana musim ini.


Ia belum ditambah dengan hakikat Everton tidak pernah memenangi perlawanan tetangga Merseyside di laman lawan sejak 1999 tetapi bagi Ancelotti, ia bukan alasan untuk merasa gentar.

“Ia bukan saja peluang yang menakjubkan tetapi peluang yang hebat,” kata pengendali kelahiran Itali itu. “Kami akan melawan pasukan terbaik ketika ini, mereka adalah juara dunia jadi tahniah kepada mereka, tetapi ini adalah cabaran yang menakjubkan untuk kami.”

Ancelotti begitupun mempunyai alasan untuk bersikap optimis. Apa tidaknya, dia pernah menjulang Piala FA bersama Chelsea pada 2010 dan menjadi satu-satunya pengurus yang berjaya mengalahkan Klopp musim ini.

Ketika masih mengemudi Napoli, Ancelotti menghadiahkan Liverpool kekalahan 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara pada September lalu dan mengutip satu mata di Anfield pada November.




Ditanya mengenai rahsia menewaskan Liverpool, pengurus berusia 60 tahun itu tersenyum dan berkata: “Jaringkan lebih banyak gol. Jurgen adalah kawan saya, hubungan kami baik dan saya bertuah dapat menewaskannya pada musim lalu juga, sekali pun mereka memenangi kejohanan itu.

“Di Napoli juga sama, kami berjaya menampilkan persembahan yang hebat kerana untuk menewaskan Liverpool kamu perlu memberikan persembahan yang hebat, persembahan yang normal tidak cukup.

“Segala-galanya perlu sempurna. Kamu perlu kerja keras, berkorban, tunjukkan semangat juang tinggi. Untuk mengalahkan mereka permainan kamu perlu sempurna.”

Selepas meraih kemenangan ke atas Burnley dan Newcastle, Ancelotti dipalit kekalahan pertama selaku pengurus Everton apabila tewas 2-1 kepada Manchester City yang turut mengakibatkan kelab itu kehilangan khidmat Bernard dan Fabian Delph susulan kecederaan. – Agensi



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *