FAM sasar Harimau Malaya julang Piala AFF 2020

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mensasarkan skuad Harimau Malaya untuk menjulang trofi Piala AFF 2020 yang akan berlangsung pada penghujung tahun ini.

Sasaran untuk menjuarai saingan peringkat asia tenggara ini menjadi keutamaan kedua selepas sasaran untuk layak ke kelayakan pusingan ke-3 Piala Dunia dan layak secara automatik ke saingan Piala Asia 2023.



Ia juga sebahagian daripada pelan strategik F:30 FAM di mana skuad senior kebangsaan mestilah menjadi salah satu daripada kuasa besar bola sepak di rantau ASEAN.

“Dalam Piala AFF, kita mesti masuk final kerana sudah terlepas peluang (untuk menjadi juara) di Vietnam dua tahun lalu.




“Jadi tahun ini, kita mesti menakluki peringkat ASEAN,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi seperti dipetik daripada Stadium Astro.

Pada kejohanan Piala AFF 2018, skuad Harimau Malaya berjaya melangkah ke saingan peringkat akhir bertemu Vietnam namun tewas kepada pasukan tersebut dengan agregat 3-2.

Kali terakhir Malaysia memenangi Piala AFF adalah pada tahun 2010 ketika di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal di mana skuad kebangsaan ketika itu berjaya menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2. – foxsports