Pemain muda Korea, Jeon Hyo-seok ‘benteng’ baharu Perak

Pasukan Perak nampaknya secara rasmi telah mengikat khidmat pemain ‘benteng’ dari Republik Korea, Jeon Hyo-seok untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2020.


Tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) setakat ini, tetapi menurut laporan Stadium Astro, pertahanan muda berusia 22 tahun tersebut telah sah mengisi slot pemain import asia bagi skuad The Bos Gaurus.

“Kami sudah mengikat Seok Jeon dan dia akan bergandingan tenaga dengan Leandro Dos Santos, Raianderson Da Costa Morais (Careca) dan Guilherme De Paula,” kata ketua jurulatih Perak, Mehmed Durakovic seperti dipetik daripada Stadium Astro.

Kemasukan beliau menggantikan tempat pertahanan Lubnan, Hussein El Dor yang dilepaskan PAFA setelah tamat saingan Piala Malaysia 2019. Ia juga menyaksikan Jeon menjadi pasangan baharu kepada Shahrul Saad di posisi pertahanan tengah Perak.




Memiliki susuk tubuh berketinggian 1.87 meter, Jeon Hyo-seok merupakan bekas pemain Asan Mugunghwa FC, sebuah kelab yang beraksi dalam saingan K-League 2 pada musim 2019.

Selain daripada posisi pertahanan tengah, Jeon juga merupakan seorang yang versatil di mana dia juga mampu beraksi di bahagian pemain tengah bertahan atau sering dikenali sebagai defensive midfielder.

Sementara itu, Perak juga bercadang untuk mencari pemain seorang lagi pemain import untuk mengisi slot pemain ASEAN. Ketua jurulatihnya mendedahkan pemain itu mungkin datangnya daripada negara jiran iaitu Singapura.

“Saya telah pergi ke Singapura baru-baru ini untuk melihat calonnya.

“Memang ada yang menambat hati dan segalanya kini terserah kepada jawatankuasa tertinggi Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), terutama presiden yang akan membuat keputusan, ” katanya lagi. – foxsport