[VIDEO] Penyerang China, Wu nafikan Barca tiga mata

BARCELONA: Pendahulu La Liga, Barcelona diikat 2-2 oleh pasukan bergelut Espanyol dengan penyerang China, Wu Lei keluar daripada bangku simpanan untuk menyumbat gol penyamaan lewat pada aksi tetangga, awal pagi tadi.

Pemain Barca, Frenkie de Jong turut diarah keluar padang pada perlawanan berkenaan ketika Wu meledak gol dua minit sebelum permainan berakhir selepas penyandang juara Sepanyol itu tampak akan meraih kemenangan apabila Arturo Vidal meletakkan mereka di depan pada minit ke-59.


Luis Suarez menjaringkan gol pada awal babak kedua yang juga gol penyamaan Barca selepas Espanyol terlebih dulu membuka tirai jaringan pada babak pertama menerusi tandukan David Lopez.

Tetapi skuad kendalian Ernesto Valverde terpaksa mengharungi 15 minit terakhir dengan 10 pemain apabila De Jong dilayangkan kad kuning kedua dan ia dimanfaatkan pemain gantian, Wu bagi menyelamatkan mata untuk skuad tercorot liga itu.

Barca begitupun masih menghuni tangga teratas La Liga dengan jumlah jaringan membezakan kedudukan mereka dengan Real Madrid yang mencatat kemenangan 3-0 menewaskan Getafe pada aksi lebih awal.

“Kami melakukan perkara paling sukar iaitu bangkit selepas ketinggalan ketika bermain di tempat lawan dan kemudian mendahului jadi perasaannya adalah seperti kami membazirkan dua mata,” kata Suarez.




“Sentiasa sukar bermain kurang seorang pemain, dengan pihak lawan mula meningkatkan keyakinan tetapi ia bukan alasan. Kami adalah juara dan kami bertanggungjawab untuk memenangi semua perlawanan jadi kami perlu hadir dengan satu jalan penyelesaian.”

Valverde berkata penyingkiran seorang pemainnya sebagai punca terhadap keputusan berkenaan.

“Kad merah De Jong menyukarkan kami, kami mempunyai tiga peluang untuk menamatkan saingan mereka dan kemudian mereka menyamakan kedudukan,” kata Valverde.

“Segala-galanya memihak kepada kami tetapi kemudian kami menjadi tidak tersusun. Kami tidak gembira kerana kami mahukan tiga mata.”

Sebagai rekod, ini adalah perlawanan pertama Espanyol di bawah kendalian jurulatih baharu, Abelardo Fernandez yang menjadi pengendali ketiga kelab itu pada musim ini. – AFP



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *