Cheng Hoe sudah kenal pasti pemain utama saingan Mac nanti

Kuala Lumpur:Tidak banyak perubahan yang akan berlaku dalam senarai skuad Harimau Malaya menjelang tiga aksi penting, Mac ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bakal diuji pasukan Bahrain dalam aksi persahabatan antarabangsa sebelum turun menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nanti.


Menurut Cheng Hoe, beliau mungkin mengekalkan sebahagian besar tonggak ketika cemerlang meraih enam mata dalam aksi kelayakan Piala Dunia, November lalu dengan menewaskan Thailand (2-1) dan Indonesia (1-0).

“Untuk pasukan kebangsaan, kita sudah ada dan mengenal pasti pemain utama yang akan bersama pasukan seperti perlawanan lalu dan saya rasa tak banyak pertukaran,” ujar Cheng Hoe.

Malah jelasnya, dengan saingan Liga Malaysia (Liga-M) hanya akan membuka tirainya pada 28 Februari ini, beliau berharap pemain dapat mengekalkan kecergasan terutama sepanjang tempoh pramusim ketika ini.

Bagaimanapun, pengendali berasal dari Kedah itu mengaku barisan kejurulatihan negara akan tetap memantau prestasi pemain dalam liga dengan meninjau beberapa venue perlawanan.




“Sudah tentu dengan musim baharu dan pemain sekarang berada dalam pramusim, kita akan pantau dari segi persembahan dan kecergasan mereka.

“Saya mahu pemain bersiap sedia apabila mereka dipanggil ke latihan pusat kerana kita tidak mempunyai banyak masa,” katanya.

Skuad negara ketika ini berada di tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata selepas mengharungi lima aksi.

Sekiranya pasukan negara berjaya meraih mata ketika berkunjung ke UAE pada 26 Mac ini serta menewaskan Vietnam di Bukit Jalil lima hari kemudian, laluan Harimau Malaya untuk ke Piala Asia 2023 di China cerah selain turut mengintai peluang mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar. – HMetro