[VIDEO] Skuad muda Liverpool menang tipis

LIVERPOOL: Pengendali Everton Carlo Ancelotti akan melakukan bedah siasat di atas kekalahan memalukan skuadnya dalam aksi Piala FA kepada skuad muda Liverpool.


Anak buah Ancelotti mensia-siakan peluang kemenangan untuk menang di Anfield buat pertama sejak tahun 1999 apabila Curtis Jones meledak gol tunggal dalam kemenangan 1-0 Liverpool pada pusingan ketiga kejohanan itu.

Jones, 18, produk akademi Liverpool, disertai empat muka baharu lain dalam kesebelasan utama diturunkan Jurgen Klopp.

Klopp melakukan sembilan pertukaran manakala Ancelotti membariskan skuad terkuad Everton yang terlepas beberapa peluang keemasan sepanjang babak pertama permainan.

“Saya tidak biasa bercakap dengan pemain-pemain selepas perlawanan tetapi saya akan membicarakannya kali ini,” kata bekas pengendali Napoli, Ancelotti.




“Saya rasa di babak kedua kami tidak mampu mengekalkan corak permainan diingini seperti di babak pertama, di mana kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol.

Kegagalan itu mempengaruhi persembahan kami di babak kedua, yang tidak cukup bagus.”

Sementara itu percaturan Klopp untuk merehatkan sebahagian besar tonggak utamanya membuahkan hasil dengan barisan pemain mudanya masih mampu menjelmakan kemenangan.

“Ramai pemain beraksi buat kali pertama di pentas ini di hadapan penyokong dan lawan seperti ini. Ia menakjubkan. Saya sukakan setiap saat perlawanan ini,” kata Klopp. – AFP