Balotelli bidas penyokong Lazio

BRESCIA, Itali: Dua gol jaringan penjaring terbanyak Serie A Ciro Immobile memberikan Lazio kemenangan 2-1 ke atas Brescia untuk mata penuh kesembilan berturut-turut dalam aksi liga.

Perlawanan itu bagaimanapun dicemari penghinaan ke atas penyerang Brescia Mario Balotelli yang selepas perlawanan berkata penyokong Lazio patut malu dengan diri sendiri.



Lazio yang turun tanpa beberapa tonggak utama merapatkan jurang dengan dua pasukan teratas – Juventus dan Inter Milan – kepada tiga mata selepas jaringan kemenangan masa kecederaan Immobile menyelamatkan mereka daripada tercicir dua mata.

Kali terakhir Lazio menang sembilan perlawanan liga berturut-turut ialah pada musim 1998/99 di bawah Sven-Goran Eriksson.

Lazio terpaksa merombak barisan tengahnya apabila Lucas Leiva dan Luis Alberto – arkitek utama gol mereka musim ini – digantung permainan, manakala Danilo Cataldi tidak cergas sepenuhnya.

Brescia mendahului permainan menerusi Balotelli pada minit ke-18 – gol pertamanya di laman sendiri sejak menyertai kelab kampung halamannya musim ini.




Balotelli kemudian mengadu kepada pengadil berkenaan penghinaan oleh penyokong Lazio dan pengumuman terpaksa dibuat bagi mengarahkan perbuatan itu dihentikan.

“Penyokong-penyokong Lazio yang hadir di stadium hari ini, anda memalukan,” kata Balotelli di akaun Instagramnya selepas perlawanan.

Lazio menyamakan kedudukan selepas Andrea Cistana mengasari Caicedo dan dibuang padang susulan kad kuning kedua. Immobile menyempurnakan sepakan penalti minit ke-42 itu sebelum menambah jaringan dalam masa kecederaan di akhir permainan.

“Matlamat utama kami ialah memperbaiki permainan dari hari ke hari,” kata pengendali Lazio Simone Inzaghi. “Sudah tentu, selepas kemenangan ini, kami mahukan lebih lagi tetapi kami sedar liga Itali amat sukar.” – AFP