Pep Guardiola lebih rela tinggal di Maldives berbanding menguruskan Man United

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata dia lebih rela tinggal di Maldives berbanding menguruskan seteru utama Liga Perdana Inggeris, Manchester United.



Semi finalis Piala EFL itu menjadi tajuk utama dalam pertemuan setempat Manchester tatkala anak buah Guardiola bakal bertandang ke Old Trafford untuk aksi pertama, awal pagi esok.

Guardiola dilaporkan hampir menyertai United sebelum meninggalkan Bayern Munich dan hadir ke City pada 2016 tatkala bekas pengurus Barcelona itu mendominasi bola sepak Inggeris, dua kali berturut-turut menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Piala EFL, satu Piala FA dan Perisai Komuniti.

Ditanya sama ada dia akan mengendalikan jiran dan seteru utama City itu, Guardiola — yang dikaitkan untuk meninggalkan Etihad — menafikan dakwaan tersebut.




“Selepas mengendalikan City, saya tidak akan uruskan United. Ia seperti saya tidak akan kendalikan Real Madrid,” katanya.

“Saya akan berada di Maldives jika tidak menerima sebarang tawaran. Maldives mungkin tidak kerana tiada padang golf tetapi tempat yang sebegitu.”

Tatkala City menyinar sejak kehadiran Guardiola, United bergelut untuk mencapai prestasi terbaik.

The Red Devils menduduki tangga keenam liga di bawah kendalian Jose Mourinho sewaktu musim pertama Guardiola di England dan mereka sekali lagi di kedudukan sama musim lalu selepas pengendali dari Portugal itu dipecat dan digantikan Ole Gunnar Solskjaer.

“Saya pasti tidak datang ke sini hanya untuk tewaskan United atau menghadapi mereka,” tambah Guardiola.

“Ia bukan sasaran. Sasaran sebenar mahu bermain dengan baik, cuba raih kejuaraan seperti apa yang kami lakukan dalam dua musim terakhir. Musim ini, kami meraih Perisai Komuniti dan kini, kami berpeluang untuk mara ke satu lagi final.”