Balachandran ganti tempat Kim Swee

JOHOR BAHRU: Penolong jurulatih Harimau Malaya, S Balachandran bakal memulakan tugas baru sebagai pengendali skuad bawah 23 tahun negara, kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin

Nama penolong jurulatih itu akan dicadangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan tidak lama lagi untuk dilantik sebagai ketua jurulatih bawah 23 tahun dan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan memantau latihan skuad berkenaan.



“Pertama, skuad bawah 23 tahun tiada perlawanan (tiada kejohanan besar) tahun ini, mereka ada kelayakan tahun depan tetapi saya ingin mencadangkan dengan jawatankuasa pasukan kebangsaan untuk lantik penolong jurulatih Harimau Malaya,” kata Hamidin.

“Selepas berbincang dengan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) beberapa kali sebelum ini, kita mungkin akan guna khidmat penolong jurulatih Cheng Hoe dari skuad senior untuk menjadi ketua jurulatih bawah 23 dan Cheng Hoe akan pantau latihan pasukan itu.”




Hamidin berkata demikian ketika mengulas mengenai status jurulatih bawah 23 yang kekosongan sejak awal tahun ini dengan selepas kontrak Datuk Ong Kim Swee tidak disambung oleh FAM.

Mengulas mengenai keselamatan Harimau Malaya bagi perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mac ini, Hamidin berkata pihaknya sentiasa memantau keadaan di Timur Tengah itu.

“Kita sudah dapat surat dari Kementerian Dalam Negeri (KDN). Setakat ini, masih dibenarkan (untuk bermain di sana,” katanya sambil menambah FAM sentiasa mengikuti perkembangan di sana menerusi rakan sejawat di UAE.

Skuad Harimau Malaya bakal bertemu Bahrain pada 21 Mac manakala UAE pada 26 Mac.