Tak penting lihat Liverpool lawan Man Utd – Guardiola

MANCHESTER, United Kingdom: Pep Guardiola tidak akan menonton perlawanan Liverpool “yang tidak mampu disekat” berdepan Manchester United awal pagi Isnin ini kerana jurang antara pendahulu Liga Perdana itu dengan pasukannya Manchester City terlalu besar.



Guardiola menegaskan pemain City berhak menerima pujian kerana cara mereka bermain musim ini walaupun mereka akan ke perlawanan menentang Crystal Palace malam nanti 14 mata di belakang Liverpool.

Dia mengakui dia kini hanya berminat untuk memastikan kedudukan empat teratas dan mencari kejayaan dalam tiga piala dipertandingkan daripada melihat acara di Anfield membabitkan Liverpool.

“Kami sangat jauh, mereka tidak mampu disekat dalam aspek itu. Kami mencicirkan mata, kami melepaskan gol dan tidak menang perlawanan,” kata Guardiola semalam.





“Permainan ini mengenai keputusan dan saya gembira kami terus menyerang dengan agak baik tetapi realiti adalah realiti. Mereka menang 20 daripada 21 perlawanan dan mereka mendahului liga seluruh dunia.

“Lebih baik fokus terhadap Wilfried Zaha dan Crystal Palace, dan pada Selasa kami akan menentang Sheffield United.

“Kerana berada terlalu jauh, tidak menarik untuk melihat apa yang Liverpool lakukan. Lebih baik fokus apa yang kami boleh lakukan untuk baki musim Liga Perdana dan kejohanan lain.” – AFP