Sambutan hari lahir Guardiola tergendala

LONDON: Sambutan hari lahir ke-49 Pep Guardiola tidak meriah apabila gol sendiri lewat permainan Fernandinho memaksa Manchester City seri 2-2 berdepan Crystal Palace awal pagi tadi.

Drama di Stadium Etihad mencuri tumpuan apabila kesilapan Fernandinho menyebabkan Guardiola tidak boleh berpesta selepas harapan City untuk mengekalkan kejuaraan semakin pudar selepas satu lagi kegagalan.


Juara bertahan itu mengekori Liverpool dengan 13 mata menjelang pertemuan pendahulu itu dengan pencabar, Manchester United awal pagi esok.

“Ia perlawanan yang sengit. Sukar membuat analisis apabila mereka mencuba dari sudut dan tiada peluang,” kata Guardiola.

“Kami ada banyak peluang, malangnya kami tidak menang.”




Cenk Tosun menandakan permulaan liga pertamanya sejak berpindah secara pinjaman dari Everton dengan gol sulung buat Eagles dengan penyerang Turki itu meledak dari jarak dekat hasil hantaran Martin Kelly pada minit ke-39.

Sergio Aguero tampak boleh memberi kelebihan pada minit ke-82 apabila penyerang Argentina itu meledak jaringan ke-250 dalam 360 perlawanan bersama kelab berkenaan.

Aguero kemudian meletakkan City di depan pada minit ke-87 dengan tandukan kencang hasil hantaran lintang Benjamin Mendy.

Bagaimanapun Fernandinho menanduk ke gawang sendiri hantaran lintang Zaha pada minit ke-90 untuk menamatkan tiga kemenangan berturut-turut City dalam liga. – AFP