Cavani minta dilepaskan

EDINSON Cavani memberitahu Paris Saint-Germain dia mahu meninggalkan pasukan dan menyertai Atletico Madrid, menurut pengarah sukan juara Perancis itu, Leonardo.


“Memang benar hari ini, dia ada meminta untuk meninggalkan kelab. Kami sedang mengkaji situasi itu. Memang benar juga kami dihubungi Atletico Madrid,” kata Leonardo selepas PSG menewaskan Lorient 1-0 untuk mara ke peringkat 16 Piala Perancis, awal pagi tadi.

PSG tidak mahu penyerang Uruguay itu meninggalkan pasukan tetapi “kami perlu mendengar nya kerana mempunyai hormat yang tinggi kepadanya,” katanya.

Cavani menjaringkan 198 gol sepanjang karier bersama PSG tetapi kehilangan tempat dalam kesebelasan utama selepas ketibaan Mauro Icardi secara pinjaman dari Inter Milan.





Jurulatih PSG, Thomas Tuchel enggan mengulas masa depan pemain berusia 33 tahun itu.

“Saya telah banyak kali berkata mengenainya, saya tidak akan mengulanginya,” kata Tuchel.

“Jika kami mahu mencapai sasaran — menjuarai banyak trofi dan cara terbaik mencapainya dengan ada Edi bersama.”