Suarez ‘dibuang secara kejam’

BARCELONA: Luis Suarez diberitahu khidmatnya tidak lagi diperlukan di Barcelona menerusi hanya satu panggilan telefon berdurasi seminit bersama jurulatih baharu, Ronald Koeman.



Penyerang Uruguay itu dijangka menjadi antara pemain yang bakal dilepaskan Koeman selepas kelab Catalan itu menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi dan dimalukan 8-2 di tangan Bayern Munich pada aksi Liga Juara Juara.

Laporan mendedahkan kontrak Suarez yang masih berbaki setahun akan ditamatkan sekali gus menyaksikan pemain berusia 33 tahun itu boleh meninggalkan pasukan secara percuma.




Menurut laporan SPORT, Suarez berang apabila Koeman memaklumkan hasratnya untuk menjual pemain itu hanya menerusi perbualan selama 60 saat.

Penyerang itu memberitahu El Pais minggu lalu ‘ada beberapa nama yang diberikan oleh presiden susulan perubahan yang perlu dibuat tetapi tiada siapa yang memaklumkan mahu melakukan itu tanpa saya.’




“Kalau itulah kemahuan kelab, bagus jika orang yang menguruskan perkara ini bercakap secara terus dengan saya.

“Saya mahu yang terbaik untuk pasukan ini dan saya juga mahu kekal. Tetapi kalau kelab berpendapat saya tidak penting, saya tiada masalah untuk bercakap dengan orang yang menguruskan perkara ini,” katanya. -Agensi