Tiada siapa layak ganti Hamidin

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar menyifatkan arena bola sepak negara masih belum bersedia kehilangan ‘sentuhan’ Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).



Shahril menegaskan beliau termasuk ahli gabungan FAM yang lain cukup yakin Hamidin seharusnya kekal lebih lama sebagai pemimpin nombor satu dalam badan induk itu.

Katanya, tiada individu lain yang layak menggantikan tokoh itu buat masa ini sekiranya Hamidin meninggalkan ‘kerusi panas’ FAM.





“Memimpin persatuan itu bukan mudah dan jika mengikut sejarah FAM sendiri kita sudah menyaksikan pelbagai pemimpin yang menjadi presiden FAM.

“Namun Hamidin cukup unik bagi saya. Semua dapat menyaksikan beliau boleh bergaul mudah dengan semua lapisan orang dan itulah keistimewaan Hamidin.





“Peta hala tuju atau F:30 baharu dilancarkan pada 2018 dan perjalanan kita masih jauh. Saya yakin kita dapat menggapai ke peringkat global jika berada di bawah kepimpinan Hamidin.

“Kalau kita tidak ada kepimpinan yang berterusan, tiada kesinambungan biarpun pelan (F:30) sudah ada, ia agak sukar dan jika boleh kami mahu Hamidin kekal menerajui FAM sampai satu masa beliau berasa puas dan berundur sendiri,” katanya.

Semalam, BH Sukan melaporkan Hamidin mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk terus menggalas tugas sebagai Presiden FAM biarpun menerima sokongan lebih daripada separuh ahli gabungan dalam Kongres FAM ke-56, Sabtu lalu.