Pemain Ecuador didenda RM4,971 cium bola

QUITO: Seorang pemain bola sepak di Ecuador didenda AS$1,200 (RM4,971), hari ini kerana mencium bola yang jelas melanggar peraturan kesihatan yang ditetapkan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.


Pemain tengah Argentina, Sergio Lopez yang beraksi bersama kelab berpangkalan di Quito, Aucas dalam saingan Liga Pro menjadi pemain pertama yang dikenakan hukuman di bawah peraturan baharu itu ketika pasukannya menewaskan Macara 1-0, Jumaat lalu.





Jawatankuasa disiplin liga berkenaan, berkata Lopez dikenakan hukuman kerana mencium bola.

Beberapa peraturan baharu diperkenalkan untuk saingan liga berkenaan yang kembali bersambung bulan lalu selepas terpaksa dihentikan selama lima bulan susulan pandemik COVID-19.





Lima lagi pemain turut didenda RM4,971 kerana bertukar jersi yang turut dilarang dalam satu perlawanan yang berlangsung, 16 Ogos lalu.

Dua pasukan pula didenda kerana tidak mematuhi peraturan baru: Liga de Portoviejo kerana tidak menyediakan alat pertolongan kecemasan dan Barcelona SC kerana tidak menyediakan gel pembersih.

Ecuador merekodkan 114,000 jangkitan dan hampir 6,600 kematian disebabkan COVID-19. – AFP