Belum pasti skuad B-19 ke Sukan Sea

MASIH belum ada sebarang ketetapan sama ada Malaysia akan menghantar skuad bawah 19 tahun (B-19) atau sebaliknya dalam acara bola sepak pada temasya Sukan Sea di Vietnam tahun depan.


Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundram berkata, perkara itu hanya akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan dalam masa terdekat.

“Selepas mesyuarat itu barulah kami akan tentukan skuad yang ingin dihantar. Sama ada hantar skuad bawah 19 tahun atau yang lain.




“Tapi kami juga melakukan persediaan untuk kempen kelayakan Sukan Olimpik 2023. Jadi kemungkinan besar kami akan menghantar pasukan remaja tapi ia belum diputuskan lagi,” katanya.

Beliau ditemui selepas mesyuarat kriteria pemilihan Sukan Sea dan Sukan Malaysia (Sukma) bersama dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.




Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Md Dali Wahid berkata, pihaknya mengemukakan cadangan kepada MOM supaya acara futsal dipertandingkan pada setiap edisi Sukma.

“Kami minta MOM dan MSN (Majlis Sukan Negara) supaya pada masa akan datang mewajibkan futsal dipertandingkan di setiap edisi Sukma.

“Bukan kerana pada edisi 2021 futsal tidak dipertandingkan tetapi jika tiada pertandingan di peringkat negara agak susah untuk kita memperoleh bakat baharu,” katanya.