[VIDEO] Luqman jaring gol sulung bersama skuad utama

KUALA LUMPUR: Penyerang muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin pantas menyesuaikan diri di KV Kortrijk apabila meledak gol sulung pada penampilan pertama bersama skuad utama kelab itu, kelmarin.




Walaupun ia hanya dalam aksi persahabatan, namun jaringan itu sudah pasti menambahkan kepercayaan pasukan untuk terus menyenaraikan Luqman dalam skuad utama Kortrijk.

Menerusi video yang disiarkan kelab terbabit di laman sosial mereka, pemain berusia 18 itu mengakui gembira apabila berjaya menyumbang jaringan sulung bersama skuad utama.





“Perlawanan pertama sangat baik bagi saya. Sukar untuk saya kerana kali pertama bermain di Eropah. Tapi ia bagus kerana saya boleh belajar banyak perkara.

“Sudah pasti saya gembira (menjaringkan gol) kerana ia kali pertama untuk skuad utama. Saya gembira kerana rakan sepasukan sentiasa menyokong saya dan saya perlu berusaha keras dan tidak putus asa,” katanya.





Bulan lalu, Luqman sudah berjaya meledak gol bersama skuad bawah 21 (B-21) KV Kortrijk ketika pasukan itu tewas 1-4 di tangan KRC Gent.

Luqman kemudian dilaporkan mula menyertai latihan bersama skuad utama KV Kortrijk sejak Jumaat lalu.